“Bila Dah Ada Anak Suasana Raya Jadi Beza” Obot & Obit Penyeri Raya Syasya Rizal & Suami  

Penyanyi muda berbakat, Syasya Rizal tampil menyemarakkan musim perayaan dengan single Hari Raya terbaharunya berjudul “Inikan Hari Raya.” Lagu ceria ini membawa mesej tentang kebersamaan, rasa syukur dan kesederhanaan, sambil mengingatkan bahawa makna sebenar Hari Raya bukan terletak pada kemewahan, tetapi pada kebahagiaan yang dikongsi bersama keluarga dan orang tersayang.

“Inikan Hari Raya” ditulis oleh Syasya Rizal bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, serta diterbitkan oleh Amirul Azhar. Lagu ini bermula dengan progresi kord yang ringkas dan alunan dram yang ringan bagi mencipta suasana hangat dan penuh semangat perayaan. Melodinya kemudian berkembang secara semula jadi dengan bahagian korus yang menjadi tunjang utama, manakala susunan muziknya dibina secara berlapis bagi memberi tenaga yang semakin meningkat menuju korus yang ceria dan mengangkat suasana Raya.

Melalui bunyi yang ceria dan lirik yang menyentuh hati, lagu ini menyampaikan satu peringatan bahawa Hari Raya tetap bermakna walaupun disambut secara sederhana, sama ada memakai baju lama atau meraikan dengan cara yang sederhana, asalkan dapat berkumpul bersama insan tersayang.

‘Inikan Hari Raya’ Tentang Orang Sekeliling

Menurut Syasya, mesej kesederhanaan dan rasa syukur itu sangat dekat dengan dirinya. “Bagi Syasya, Hari Raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, Raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna, baju banyak pasang, rumah cantik, semuanya nampak mewah. Tapi realitinya tak semua orang sambut Raya dengan cara macam tu. Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita. Lagu ‘Inikan Hari Raya’ ini sebenarnya macam satu peringatan lembut bahawa kebahagiaan Raya tak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang kita ada,” katanya.

Single ini juga menjadi satu pencapaian istimewa buat Syasya kerana ia merupakan kali pertama beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. “Ini sebenarnya pengalaman pertama Syasya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Jadi bagi Syasya, ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar-benar datang daripada hati Syasya sendiri kepada para peminat. Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing Syasya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,” jelasnya.

Raya Lebih Meriah Bila Ada Anak-Anak

Hari Raya juga kini membawa makna yang lebih mendalam buat Syasya apabila beliau menyambutnya bersama keluarga sendiri. “Sekarang Raya terasa lagi berbeza untuk Syasya sebab Syasya dah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi, dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana Raya tu jadi lebih hidup. Bila ada anak, kita mula sedar bahawa Raya bukan lagi tentang kita, kita mula cipta memori Raya untuk mereka pula. Dan bagi Syasya, itulah sebenarnya makna Raya yang paling indah.”

Dalam masa yang sama, Syasya berharap lagu ini dapat mengingatkan pendengar tentang perkara-perkara kecil yang sebenarnya paling bermakna ketika musim perayaan. “Syasya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat kepada perkara kecil yang sebenarnya sangat bermakna waktu Raya seperti bangun pagi Raya, bau rendang dari dapur, atau makan bersama keluarga. Mungkin ada yang sambut Raya secara sederhana, tapi semua itu tetap berharga. Lagu ini juga mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dan berempati dengan orang lain yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan Raya seperti kita.”

Syasya turut berharap agar “Inikan Hari Raya” dapat menjadi sebahagian daripada memori Hari Raya pendengar setiap tahun. “Syasya harap ‘Inikan Hari Raya’ boleh jadi salah satu lagu yang orang akan pasang setiap kali tiba musim Raya. Kalau satu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan Raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk Syasya sebagai seorang penyanyi.”

“Inikan Hari Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.

Leave a Reply

Discover more from KL UPDATE MEDIA

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading