Capai Jualan Emas 20kg! 15 Ahli SSPC Terima Banglo RM350,000!

Siapa sangka bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, menjaja malah ada yang pernah menerima bantuan asnaf, akhirnya 15 ahli Sri Semantan Privilege Club (SSPC) mampu memiliki kediaman sendiri bernilai RM350,000.

Lebih menarik, banglo empat bilik itu diberikan selepas mereka berjaya mencapai tahap Freedom menerusi pencapaian jualan emas sebanyak 20 kilogram secara berkumpulan.

Kesemua 15 penerima dari Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor itu menjadi kumpulan pertama menerima kediaman berkenaan, membabitkan keseluruhan nilai kira-kira RM4.5 juta.

Pengerusi Kedai Emas Sri Semantan, Mohamad Hafizal Mahmood, berkata pencapaian Freedom merupakan antara tahap tertinggi dalam komuniti SSPC selepas ahli melalui beberapa peringkat termasuk Affiliate, Assistant Manager, Manager dan Master Manager.

“Rumah ini adalah pencapaian tertinggi bagi mereka selepas melalui beberapa fasa tertentu dalam komuniti.

“Sebelum ini pun mereka berpeluang menerima pelbagai ganjaran seperti kereta, pakej melancong, umrah dan emas untuk simpanan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Freedom dan Kenduri SSPC di Tok Uban, pada Jumaat (25 September 2026).

Menurut Mohamad Hafizal, kelayakan ke tahap Freedom ditentukan berdasarkan pencapaian kumpulan yang berjaya mencapai jualan sebanyak 20 kilogram emas.

Katanya, pemberian rumah berkenaan bukan semata-mata sebagai ganjaran, sebaliknya sebahagian daripada usaha membentuk komuniti yang dapat menikmati manfaat bersama menerusi aktiviti perniagaan emas.

Lebih menarik, katanya, sebahagian penerima bukan daripada keluarga berada, malah ada yang sebelum ini menjalankan perniagaan kecil-kecilan, menjaja dan menerima bantuan asnaf.

“Kami mahu mereka sama-sama berkongsi rezeki dan membantu masyarakat melalui komuniti yang dibentuk.

“Rumah ini adalah satu bentuk penghargaan kepada mereka yang berjaya mencapai tahap ditetapkan,” katanya.

Mohamad Hafizal berkata, Kelantan dipilih sebagai lokasi pertama bagi pelaksanaan pemberian kediaman berkenaan sebelum konsep sama berpotensi dikembangkan ke negeri lain.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan Emas Sri Semantan bukan syarikat pemaju perumahan, sebaliknya kediaman tersebut merupakan inisiatif penghargaan kepada ahli yang mencapai tahap tertentu dalam perniagaan emas.

Bagi Mohd Din Sugiman, 61, banglo yang diterimanya itu menjadi antara titik penting dalam perjalanan hidup selepas melalui pelbagai kesukaran untuk mencari rezeki.

Dari Pemandu E-Hailing Kepada Pemilik Banglo

Bekas pemandu e-hailing itu berkata, sebelum menyertai Emas Sri Semantan, dia pernah memandu sehingga merentasi beberapa negeri demi mendapatkan pendapatan.

Katanya, kehidupan sebagai penerima asnaf ketika itu membuatkan dia perlu bekerja keras untuk menyara kehidupan.

“Saya pernah memandu e-hailing dari Kuantan, Pulau Pinang, Perlis hingga Johor untuk mencari makan.

“Saya mula menyertai Emas Sri Semantan pada 2 Jun tahun lepas dan mencapai pencapaian pertama lima kilogram emas sekitar November tahun sama sebelum akhirnya mencapai tahap Freedom dalam tempoh kira-kira setahun,” katanya.

Menurut Mohd Din, sebelum menerima banglo berkenaan, dia turut memperoleh beberapa ganjaran lain hasil pencapaiannya dalam komuniti tersebut, termasuk sebuah Toyota Vios dan Toyota Vellfire.

Lebih bermakna buat dirinya, Mohd Din berkata, dia kini tidak lagi bergantung kepada bantuan asnaf selepas memperoleh pendapatan melalui aktiviti jualan emas bersama komuniti berkenaan.

“Saya bersyukur kepada ALLAH SWT kerana diberi peluang mengubah kehidupan.

“Dulu saya bukan siapa-siapa, tetapi sekarang saya dapat mencapai kejayaan seperti ini,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Discover more from KL UPDATE MEDIA

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading