Ernie Zakri Persembahkan Single Terbaharu “DANSA”, Lagu Pop Funky dengan Mesej Positif

Penyanyi bersuara lunak dan bertenaga, Ernie Zakri, kembali dengan single terbaharu berjudul “Dansa”, hasil ciptaan bersama Ernie Zakri dan John Jeeves, yang turut bertindak sebagai penerbit bagi lagu ini. “Dansa” menampilkan sisi baharu Ernie dengan sentuhan pop moden dan elemen funky, membawa mesej yang segar dan membangkitkan semangat pendengar untuk meraikan kehidupan walaupun dalam kesedihan.

Menurut Ernie, “Dansa” hadir daripada keinginan untuk mengajak orang ramai agar tidak terus tertekan dengan cabaran hidup.

“Emosi yang ingin saya sampaikan adalah bahawa kita boleh ‘menari jauh’ daripada segala kerisauan. Dalam kehidupan, kadangkala kita terlalu dibebani tekanan sehingga lupa untuk menikmati serta menghargai apa yang berada di hadapan mata,” jelas Ernie.

Kerjasama erat antara Ernie dan John Jeeves dalam proses penulisan dan penerbitan lagu ini turut memperlihatkan keserasian dan kefahaman kreatif yang tinggi antara kedua-duanya.

“Bekerjasama dengan John sememangnya satu pengalaman yang sentiasa menyenangkan.

Aliran idea kami berjalan dengan sangat lancar dan proses penulisan lirik juga berlaku dalam tempoh yang singkat kerana saya jelas dengan hala tuju yang ingin dibawa. Saya berharap lagu ini dapat membantu pendengar untuk melupakan kesedihan dan menikmati setiap detik yang hadir,” ujar Ernie.

“Dansa” turut memperlihatkan sisi muzik Ernie yang lebih moden dan berani bereksperimen. Walaupun masih mengekalkan genre pop yang menjadi identitinya, pendekatan kali ini lebih funky dan segar, menjadikan lagu ini antara karya yang menyerlah dalam katalog muziknya.

“Walaupun ‘Dansa’ masih berteraskan genre pop, pendekatannya lebih funky dan kontemporari. Saya juga merancang untuk menyertakan lagu ini dalam album Sahabat, agar keseluruhan album menampilkan variasi konsep yang menarik dan dapat dinikmati oleh semua lapisan pendengar,” tambah Ernie.

Dengan kekuatan vokal yang tersendiri, mesej positif yang menyentuh jiwa serta susunan muzik yang dinamik, “Dansa” dijangka menjadi antara karya penting dalam perjalanan karier seni Ernie Zakri, memperkukuh kedudukannya sebagai salah seorang penyanyi wanita terkemuka negara.

“Dansa” kini boleh didengarkan di semua digital platform.

Leave a Reply

Discover more from KL UPDATE MEDIA

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading