Menjelang hujung tahun, Astro bakal mempersembahkan dua karya baharu di bawah jenama Home of Drama, menawarkan jalan cerita menarik untuk tontonan di Astro Ria. Mengangkat tema cinta dan dendam, slot MegaDrama kali ini menjanjikan kisah penuh emosi dan konflik menerusi drama Bahagia Yang Tertangguh yang akan menemui para penonton mulai 17 November ini, diikuti dengan drama Impiana: Karma yang penuh dengan elemen saspens dan ketegangan pada 19 November.
Menyusuli kejayaan Mandul Bukan Pilihan, penulis skrip terkenal Oka Aurora kembali dengan karya terbaharu berjudul Bahagia Yang Tertangguh, drama adaptasi novelis terkenal, Rissa Ahdiya ini mengisahkan tentang seorang wanita yang terperangkap dalam perkahwinan yang dikawal oleh kakak iparnya, terpaksa menjadi isteri “provider” yang menanggung perbelanjaan keluarga suaminya sehingga membawa kepada kehancuran rumah tangga yang dibina. Kehadiran seorang lelaki yang merupakan jirannya pula seolah membawa sinar harapan baharu dalam mengecapi kebahagiaan yang tertangguh. Melalui kisah penuh duka, keberanian dan ketabahan, beliau belajar untuk menghargai erti cinta sejati serta kekuatan untuk memperjuangkan kebahagiaannya sendiri.
Sementara itu, Impiana: Karma membawa penonton menyelami sisi gelap keinginan dan cita-cita menerusi kehidupan sekumpulan sahabat lama yang kembali bertemu selepas bertahun-tahun berpisah. Pertemuan itu menyeret mereka ke dalam urusan dengan sebuah syarikat misteri yang menjanjikan kejayaan dan impian menjadi nyata – namun dengan harga yang perlu dibayar. Ketika impian mereka mula terlaksana, mereka menyedari bahawa setiap keinginan datang bersama pengorbanan, mengaburkan batas antara cita-cita dan akibat. Diadaptasi daripada siri novel popular karya Ain Maisarah, drama ini merupakan antara adaptasi yang paling dinantikan oleh peminat genre tersebut.
Meneruskan kerjasama bersama pengarah tersohor Osman Ali, drama Bahagia Yang Tertangguh terbitan iFAME Sdn. Bhd. menampilkan barisan pelakon hebat yang diterajui oleh Nad Zainal, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Kamal Adli dan Datin Seri Nina Jureen. Sementara itu, Impiana: Karma arahan Eyra Rahman di bawah penerbitan Zeel Production Sdn. Bhd. menghimpunkan barisan pelakon popular pilihan penonton seperti Che Puan Juliana Evans, Ezzanie Jasny, Adriana Adnan, Yuna Rahim, Sharifah Haneesya, Tiz Zaqyah, Nas-T, Aniq Suhair dan Lorenzo Irmann – kesemuanya diperkenalkan di sidang media semalam.












Leave a Reply