Diva pop tersohor negara, Fauziah Latiff membuktikan aura dan pengaruhnya masih utuh apabila berjaya memukau lebih 3,000 peminat menerusi konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert yang berlangsung dengan penuh gemilang di Plenary Hall KLCC. Konsert yang dinanti-nantikan setelah sekian lama ini menjadi simbol perjalanan seni empat dekad Fauziah Latiff yang penuh nostalgia manis bersama peminat setia. Sorakan dan tepukan gemuruh sepanjang malam jelas membuktikan bahawa nama Fauziah Latiff masih relevan serta dekat di hati pencinta muzik tanah air.
Barisan Hits Malar Segar Bangkit Nostalgia
Persembahan selama lebih dua jam itu membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Fauziah Latiff menerusi rangkaian lagu-lagu hit malar segar yang pernah menjadi siulan ramai. Setiap segmen disusun dengan penuh teliti, menghadirkan momen yang menyentuh hati para peminatnya. Lagu-lagu seperti Dia, Setia Ku Korbankani, Teratai Layu Di Tasik Madu dan beberapa karya ikonik lain berjaya membuatkan satu dewan berdiri meraikan ikon hebat ini sekali gus membawa penonton kembali mengimbau zaman kegemilangan muziknya. Persembahan vokal yang mantap serta penghayatan mendalam daripada Fauziah Latiff menjadi bukti bahawa beliau masih berada di kelas tersendiri dan tidak perlu dipertikaikan sesiapa!
Produksi Bertaraf Tinggi, Ideatelier Kekal Momentum Dan Kualiti
Konsert ini turut diserikan dengan produksi pentas yang eksklusif dan elegan, seiring dengan status Fauziah Latiff sebagai seorang diva. Rekaan pentas direka dengan nafas yang lebih moden bersama susun grafik elegan sesuai dengan penampilan anggun beliau dalam empat busana rekaan Ezuwan Ismail Kuala Lumpur berjaya menambahkan lagi seri persembahan sepanjang malam. Iringan muzik daripada Chaan bersama barisan pemuzik profesional, persembahan tarian daripada Onstageproduction serta alunan harmoni daripada Azrin Music Studio menjadikan setiap segmen tampil lebih dramatik dan memukau. Sistem audio dan pencahayaan yang dikendalikan oleh Sound Innovations pula berjaya memberikan pengalaman konsert yang berkualiti tinggi buat semua penonton.
Penghargaan Buat Penaja Dan Rakan Kerjasama
Kejayaan 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert tidak akan tercapai tanpa sokongan padu daripada semua penaja dan rakan strategik yang bersama-sama menjayakan malam berprestij ini. Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada TJTM (Tukang Jahit Termahir Malaysia) selaku penaja utama, Ideatelier sebagai penganjur, serta semua rakan kerjasama termasuk Hot FM, Kool FM dan Molek FM selaku radio partner rasmi. Turut dihargai ialah Ticket2U sebagai rakan tiket rasmi, Kueh selaku catering partner, Muasmo sebagai florist partner dan Soora Miguhara yang menyediakan goodies istimewa kepada tetamu dan peminat yang hadir.
Sebuah Malam Yang Akan Terus Dikenang
Konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Live In Concert bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, tetapi menjadi sebuah malam yang meraikan perjalanan seni seorang legenda yang telah mewarnai industri muzik Malaysia selama empat dekad. Kehadiran ribuan peminat membuktikan bahawa karya dan aura Fauziah Latiff masih terus hidup merentasi generasi. Dengan sambutan luar biasa yang diterima, konsert ini pastinya akan kekal menjadi antara momen paling bersejarah dalam perjalanan seni Fauziah Latiff serta meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir di Plenary Hall KLCC.











Leave a Reply